KERATAN AKHBAR

86 pelajar terima Anugerah Rakan Muda

IPOH 15 Nov. - Seramai 86 pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan dan sebuah kolej swasta di sini, Kolej TAJ menerima pingat gangsa, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2010 peringkat negeri tahun ini.
Timbalan Pengarah Belia, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Puziah Mahiddin berkata, kriteria utama penerima anugerah tersebut dinilai berdasarkan kepada peningkatan pencapaian golongan muda melalui empat komponen utama.
"Empat komponen utama itu ialah penglibatan dalam program khidmat masyarakat, kemahiran serta kreativiti, aktiviti fizikal dan pengembaraan.
"Ketika ini, sebanyak 13 golongan muda berusia antara 14 hingga 25 tahun telah dianugerahkan pingat perak sementara lebih 800 orang pula menerima anugerah gangsa," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Penganugerahan dan Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Negeri Perak 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pengarah Rakan Muda Negeri Perak, Munir Aliyasak.
Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda adalah anugerah berkembar di mana penerimanya turut diberikan Anugerah Remaja Antarabangsa yang juga dikenali sebagai 'The Duke of Edinburgh Award For Young People'.
Anugerah Remaja Antarabangsa yang diperkenalkan pada 1956 di United Kingdom (UK) itu kini dilaksanakan di lebih 130 negara di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Munir berkata, beliau yakin anugerah itu mampu mampu melahirkan generasi muda yang berdisiplin, bermoral, penyayang, beretika dan progresif serta berupaya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan nilai-nilai positif dan peribadi kental telah diterapkan sebagai persediaan untuk memimpin negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.





ARKIB : 15/11/2010

Hala tuju pelajar UPSR ke SBP




KUALA LUMPUR - Kepesatan pembangunan dunia dan kemajuan teknologi membuatkan negara perlu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi membentuk modal insan berkualiti.
Untuk mencapai tujuan itu pelajar perlu memiliki keberanian dan daya kreativiti bukan sahaja dalam bidang akademik malah mampu menguasai kepakaran pelbagai bidang termasuk kemahiran berfikir daripada peringkat sekolah rendah.
Malah ia menjadi asas kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Model Khas, Sekolah Sukan dan Sekolah Menengah Khas.
Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran, mengumumkan seramai 48,327 daripada 482,334 calon UPSR mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).
Ketua Pengarahnya, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.
"Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini baru-baru ini.
Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.
Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.
Jumlah pelajar mencatatkan peningkatan cemerlang yang diumumkan itu akan mewujudkan persaingan memasuki SBP.
Calon yang layak akan menjalani Ujian Aptitud bagi memastikan mereka yang diterima SBP mempunyai minat, kecenderungan dan ciri-ciri akademik.
Kecemerlangan pelajar mendapat keputusan 5A tidak menjamin ke SBP kerana merit pemilihan adalah berdasarkan rekod akademik, kokurikulum serta status ekonomi dan sosial.
Pemilihan mereka akan dinilai melalui Jawatankuasa Pencalonan Sekolah.
Keputusan ujian itu nanti berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke SBP.
Daripada keputusan ujian itu menentukan kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional.
Dalam mengejar kecemerlangan SBP, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) juga dilihat mampu memperkasakan pelajar yang tidak mendapat tempat di SBP.
Pelbagai program kokurikulum sekolah dimantapkan pendekatan yang lebih baik ke arah memperkasakan SMK di seluruh negara.
Melalui penawaran program atau subjek yang dapat memenuhi kehendak ibu bapa pelbagai kaum lebih beraspirasi nasional.
Ia juga memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kualiti prasarana di semua sekolah termasuk kawasan luar bandar dalam memperkasakan SMK.




ARKIB : 10/11/2010

Ke arah lahirkan pelajar berjiwa besar

KUALA TERENGGANU 9 Nov. - Singkatan GPMS atau Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung bukanlah asing bagi warga pendidikan terutama pelajar Melayu berdasarkan peranan dan tanggungjawabnya dalam membela nasib serta memenuhi keperluan masa depan bangsa ke arah lebih gemilang.

Sejajar dengan peranan besar itu, nama singkatan GPMS turut diabadikan pada Akademi Kepimpinan GPMS yang siap sepenuhnya dan baru beroperasi dua bulan lalu.
Terletak di kawasan seluas 3.7 hektar di Batu Rakit, kira-kira 30 kilometer dari sini, akademi itu merupakan kilang bagi melahirkan golongan pelajar berjiwa besar dan cemerlang sekali gus menjadi generasi pemimpin hebat pada masa akan datang.
Tidak mustahil, suatu hari nanti ramai cerdik pandai yang sarat dengan ilmu pengetahuan dilahirkan oleh 'kilang' tersebut.
Pada asalnya, idea mewujudkan akademi itu bermula di bawah era pemerintahan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad pada tahun 1997 yang dicadangkan oleh Pengerusi Exco Pendidikan ketika itu, Datuk Abdul Rashid Ngah.
Namun sejurus selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 1999, projek bagi menubuhkan akademik tersebut terhenti seketika memandangkan kerajaan negeri sewaktu itu di bawah pemerintahan Pas.
Masalah itu seterusnya berlarutan sehingga ke 2004 dan sejak itu apabila kerajaan BN mengambil alih tampuk pentadbiran Terengganu, projek yang terhenti itu diteruskan semula mengikut dengan dana khas berjumlah RM3.1 juta.
Pembinaannya membabitkan beberapa fasa dengan fasa 1 merangkumi satu blok asrama, satu dewan besar dan satu dewan makan.
Pada awal pentadbiran kerajaan BN yang dinaungi Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh ketika itu telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta lagi untuk fasa 2 pembangunan akademik berkenaan.
Fasa 2 membabitkan pembinaan sebuah lagi blok asrama di samping sebuah blok pentadbiran serta kerja-kerja landskap.
Sehinggalah pada Disember 2009, kompleks Akademi GPMS siap sepenuhnya yang membabitkan kos berjumlah RM8.1 juta dan ia mula beroperasi pada 1 Jun tahun ini.
Blok asrama lelaki diberi nama Aminuddin Baki manakala asrama perempuan pula Siti Hasmah. Kedua-dua nama itu diabadikan mengambil sempena nama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali iaitu isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Aminuddin Baki merupakan tokoh terbilang dalam bidang pendidikan negara.
Mereka juga turut memainkan peranan dan berjasa besar dalam membangunkan GPMS dengan Aminuddin sendiri sebagai salah seorang pengasas gabungan tersebut.
Begitu juga nama bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail turut diabadikan di dewan besar akademi itu bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau dalam memacu kecemerlangan GPMS Terengganu.
Setiap blok asrama berkenaan mempunyai kapasiti 300 pelajar manakala Dewan Razali Ismail pula mampu memuatkan kira-kira 500 pelajar pada satu-satu masa.
Pada masa ini, akademi itu ditadbir oleh Pengarahnya, Syed Anuar Syed Mohamad yang dibantu 14 orang kaki tangan yang terdiri daripada seorang penolong pengarah, seorang pembantu khas, seorang kerani pentadbiran, tiga staf pentadbiran, lima pekerja am dan tiga pengawal keselamatan.
Syed Anuar yang merupakan Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Kebangsaan (Gagasan) dan juga bekas Timbalan Presiden GPMS dilantik sebagai Pengarah Akademi Kepimpinan GPMS itu berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Manakala Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri dilantik sebagai pengerusi akademi berkenaan bersesuaian dengan sumbangan besar beliau dalam memperjuangkan GPMS di Terengganu
Menurut Syed Anuar, antara moto yang diberi keutamaan adalah membangkitkan jati diri pelajar menerusi program-program yang disediakan dalam usaha melengkapkan mereka menjadi pemimpin terulung pada masa akan datang.
"Kita amat berharap supaya Akademi Kepimpinan GPMS ini dapat membina semula jati diri anak-anak muda kita yang merupakan aset penting dalam melahirkan barisan kepimpinan akan datang," ujarnya.
Menurutnya, Akademi Kepimpinan GPMS itu akan diberi penjenamaan semula pada Oktober tahun ini pada majlis perasmian yang dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sejak mula beroperasi Jun lalu, Akademi Kepimpinan GPMS tidak sunyi daripada dikunjungi tetamu terutama pelajar serta guru yang 'berkampung' di situ beberapa hari bagi menjayakan pelbagai aktiviti atau program yang dianjurkan.
Ia termasuk Kursus Kepimpinan Pra Universiti 2010 yang diadakan secara bersiri membabitkan penyertaan para pelajar sekolah menengah dari beberapa kawasan Parlimen di negeri Terengganu.
Program anjuran bersama Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan gagasan itu disertai pelajar tingkatan enam bawah untuk membimbing mereka menjadi pemimpin hebat dan disegani pada masa akan depan.
Tidak terkecuali program terbaru yang berlangsung akhir bulan lalu ialah Seminar Memperkasakan Mahasiswa Melayu Terengganu yang menghimpunkan lebih 400 penuntut dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu.




KOLEKSI KERATAN AKHBAR